Komitmen itu dilahirkan da­lam satu majlis yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pe­ngangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Pengerusi MAB, Tan Sri Md. Noor Md. Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew.

Inisiatif itu akan memperlihatkan MAB memaparkan logo Negaraku pada pesawat terpi­lih dan pas penerbangan selain mengetengahkan wira-wira Malaysia melalui kandungan dalam penerbangan, majalah serta platform dalam talian.

Menurut Bellew, pihaknya menyokong penuh inisiatif Negaraku kerana semangat patriotisme dan cintakan negara sentiasa tersemat dalam MAB selaku syarikat penerbangan nasional.

“Malaysia Airlines System (MAS) adalah syarikat penerba­ngan 100 peratus milik Malaysia dan kami akan membuat anda berbangga dengan kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut di sini, hari ini.

Dalam pada itu, jelasnya, MAB merancang untuk meneroka 26 laluan antarabangsa baharu pada tahun hadapan berikutan perkembangan perniagaan yang amat menggalakkan.

Jelas beliau, rancangan tersebut susulan kejayaan MAB membuka 11 laluan antarabangsa baharu pada tahun ini yang merupakan jumlah pembukaan laluan terbanyak dalam setahun sepanjang sejarah syarikat penerba­ngan itu.

“Kita sebenarnya telah menjemput wakil-wakil pengendali lapangan terbang dari banyak negara termasuk ASEAN, Australia dan India untuk hadir ke negara ini dalam tempoh beberapa minggu ini untuk kita berunding kadar dan insentif lapangan terbang,” katanya.