Atas dasar itu, tiga cawangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di sini iaitu Kubang Kerian, Pasir Tumboh dan Salor membuat laporan terhadap Yew Yin di Balai Polis Kubang Kerian di sini hari ini.

Pengerusi PVATM Pasir Tumboh yang mengetuai kumpulan berkenaan, Mat Hassan Abdul Rahman berkata, laporan tersebut bagi menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas individu terbabit.

Katanya, tuduhan tersebut merupakan suatu penghinaan sekali gus mengguris hati anggota tentera terutama bagi mereka yang masih berkhidmat.

"Anggota tentera yang masih berkhidmat merupakan benteng pertama manakala yang sudah bersara adalah benteng kedua dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara.

"Kami tidak boleh terima tuduhan itu bahkan ia tidak boleh dipandang remeh sama sekali walaupun dia telah membuat permohonan maaf," katanya ditemui di balai polis berkenaan hari ini.

Sebelum ini, Yew Yin ketika menulis satu artikel bertajuk ‘Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita’ menerusi blognya dilaporkan berkata, ramai anggota tentera hanya makan dan tidur selain mencadangkan mereka dihantar bertugas di ladang Felda.

Kenyataannya itu mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkannya suatu penghinaan terhadap anggota tentera Malaysia.

Bagaimanapun selepas mendapat kecaman, ahli perniagaan itu akhirnya menarik balik kenyataan tersebut dan membuat permohonan maaf.

Mat Hassan berkata, Yew Yin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan provokasi bersifat menghasut supaya warga tentera dipandang lekeh.

Tegasnya, permohonan maaf Yew Yin tersebut tidak munasabah dengan tindakan yang telah dilakukannya.

"Dia kena membuat permohonan maaf secara langsung di hadapan Yang Dipertuan Agong selaku ketua turus Angkatan Tentera Malaysia; Menteri Pertahanan; Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan seluruh rakyat negara ini.

"Pun demikian dia tetap tidak boleh bebas dari undang-undang dengan permohonan maaf begitu sahaja demi menjaga martabat dan maruah ATM," katanya.- UTUSAN ONLINE