Pengerusi SMSL, Tan Boon Teet berkata, NGO berkenaan menyeru wakil rakyat terlibat supaya kembali dan sedar berhubung kesilapan kerana rata-rata mereka kini hilang selepas PH menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (14).

"Yang hanya terus bersuara adalah Ahli Parlimen tempatan di Kuantan iaitu Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack.

"Wakil rakyat lain senyap. Kami (SMSL) berharap mereka kembali dan sedar dengan kesilapan serta menunaikan janji untuk menutup kilang Lynas," katanya ketika ditemui pemberita pada Himpunan Protes 818 Tolak Sisa Radioaktif Lynas di Taman Gelora di sini hari ini.

Yang hadir sama pada himpunan itu, Wong Tack dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Sim Chon Siang.

Pada himpunan berkenaan, SMSL mengadakan beberapa simbolik yang memaparkan wakil rakyat PH yang hilang dan kerajaan PH yang membuat pusingan U berhubung isu Lynas.

Peserta himpunan turut mengoyak manifesto PH iaitu janji nombor 39 yang mana pakatan berkenaan berikrar mentadbir negara berlandaskan prinsip kemampanan dalam aspek yang membabitkan isu alam sekitar.

Boon Teet berkata, kerajaan PH diingatkan supaya jangan suka-suka membuat pusingan U berhubung operasi kilang memproses nadir bumi itu.

"Bila kerajaan buat pusingan U, kebanyakan wakil rakyatnya juga hilang dan senyap. Kita harap kerajaan PH akan bawa suasana Malaysia Baharu dan menunaikan janjinya," katanya.

Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan sokongan rakyat kepada PH akan terjejas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika janji-janji yang dikemukakan tidak ditunaikan. - UTUSAN ONLINE