Beliau yang juga Menteri Luar berkata, Kabinet sudah membuat keputusan berhubung perkara berkenaan berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang adil selain merujuk kepada dapatan saintifik.

"Saya faham terdapat perbezaan pendapat termasuk dalam kalangan teman-teman saya dalam parti saya tetapi sebagai dalam satu pasukan, saya berpegang kepada keputusan dibuat Kabinet.

"Saya kira keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan sewajarnya," katanya selepas melawat Sekolah Menengah Chong Hwa di sini hari ini.

Pada 15 Ogos lalu, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dalam kenyataannya memaklumkan, lesen operasi Lynas yang akan berakhir 2 September ini diperbaharui selama enam bulan.

PKR Cabang Indera Mahkota dilaporkan memandang berat dan kecewa dengan tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dianggap mereka mengulangi kesilapan besar dilakukan kerajaan terdahulu apabila meluluskan penyambungan lesen operasi kilang berkenaan. - UTUSAN ONLINE