Ahli Jawatankuasa Biro Alam Sekitar PSM, Sharan Raj berkata, keputusan kerajaan itu merupakan satu tindakan khianat kepada rakyat dan alam sekitar.

Menurutnya, di Australia, undang-undang negara itu mengenai perlindungan alam sekitar lebih ketat dan PH seperti tidak menghiraukan fakta tersebut dan terus membenarkan syarikat tersebut beroperasi di sini.

“Dalam masa empat tahun lagi Lynas akan mengumpulkan lebih 1.3 juta tan sisa radioaktif dan 2,080.650 tan ‘Neutralisation Underflow Residue’ (NUF). Secara keseluruhannya negara ini akan dicemari sebanyak 3.38 juta tan sisa kimia dan radioaktif yang dilepaskan ke perairan.

“Sehubungan itu, pendirian kami kekal utuh dengan menuntut kerajaan PH menutup Lynas kerana risiko kesihatan dan alam sekitar perlu diutamakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Sharan, kerajaan terdahulu meletakkan syarat mandatori untuk Lynas menggunakan satu peratus daripada keuntungan mereka bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan dan kini ia dikurangkan sebanyak 0.5 peratus serta dijangka syarikat akan membuat keuntungan tambahan sebanyak RM100 juta.

Dakwanya, Lynas juga membuat keuntungan melalui pengecualian duti setem untuk perolehan tanah dan tidak termasuk pengecualian cukai selama 12 tahun yang diberikan oleh kerajaan terdahulu.

“Rakyat Malaysia telah rugi RM1.2 juta sebelum Lynas beroperasi lagi. Nampaknya PH tiada masalah untuk terus memberikan insentif kewangan kepada pencemar alam sekitar ini,” dakwanya. - UTUSAN ONLINE