Ketuanya, Mohd. Farid Mohd. Nor berkata, surat jemputan rasmi akan disampaikan kepada pihak Ahli Parlimen Kuantan itu berhubung pelawaan tersebut.

Katanya, beliau membaca dengan teliti surat terbuka Fuziah berhubung keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membenarkan Lynas terus beroperasi di negara ini dengan syarat dibina satu tapak pelupusan kekal bagi sisa nadir bumi yang telah diproses.

"Hakikatnya, ia adalah syarat yang telah digariskan oleh kerajaan Malaysia era pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang memberi kelulusan untuk Lynas beroperasi.

"Fuziah masih menyalahkan kerajaan terdahulu di sebalik kuasa yang dimiliki oleh PH. Lwsen operasi Lynas tamat pada 2 September 2019, PH telah membuat keputusan meluluskan permohonan untuk Lynas terus beroperasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Farid berkata, Fuziah juga mendakwa Lynas tidak memberi manafaat langsung kepada negara ini kerana pengecualian cukai diberi untuk tempoh 12 tahun sejak 2012.

"Bagaimana dengan kos lain? Elektrik, air, gas, minyak, kutipan pihak berkuasa tempatan (PBT), bayaran penggunaan pelabuhan dan pengangkutan. Adakah ini kos-kos ini tidak memberi manafaat kepada ekonomi negara?

"Sementelah tempoh 12 tahun hanya berbaki lima tahun sahaja lagi, kutiplah seberapa banyak cukai selepas itu," katanya.

Beliau berkata, paling menghairankan dalam surat terbuka itu, Fuziah juga mendakwa bahawa keputusan Kabinet dipengaruhi oleh beberapa anggota Kabinet kerajaan hari ini yang pernah berada dalam kerajaan terdahulu.

Soalnya, apakah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dimaksudkan oleh Fuziah kerana hanya Menteri Dalam Negeri tersebut yang menjadi anggota Kabinet BN sekitar 2008-2013.

"Bagi merungkai persoalan-persoalan di atas dan memberi ruang kepada Fuziah menjelaskan apa yang dimaksudkan beliau melalui surat terbukanya, Pemuda UMNO negeri berhasrat agar satu perbahasan terbuka dapat diadakan di antara Ahli Parlimen Kuantan itu bersama Pergerakan Pemuda UMNO negeri.

"Demi menghormati kedudukan Fuziah sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen, kami bersedia menawarkan pendebat yang setara bagi membolehkan rakyat menilai hujah kedua-dua belah pihak," katanya. - UTUSAN ONLINE