Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak boleh selalu mendengar pandangan popular terutamanya apabila ada segelintir pihak yang menggunakan media alternatif untuk menyalurkan idea mereka sehingga siapapun yang menentang akan dikecam.

"Sekarang saya mahu mengikut apa yang dilaporkan oleh pakar. Jika ia merupakan bahan sangat berbahaya, maka kita tentu akan menyelesaikannya, Tetapi laporan itu mengatakan bahawa (ia) tidak berbahaya...sisa diletakkan di satu tempat sahaja.

"Mungkin terdapat satu penumpuan...kita bersedia untuk menyuraikannya tetapi kita tidak boleh eksport kerana tiada siapa yang mahu menerimannya, dan kita tidak boleh membuangnya ke laut juga kerana ikan akan mati. Jika betul, kita mahu mengikut pandangan pakar," kata beliau selepas merasmikan Kongres Perangkaan Dunia ke-62 anjuran International Statistical Institute (ISI) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dr. Mahathir mengulas dakwaan oleh beberapa pihak bahawa pembaharuan lesen Lynas merupakan suatu yang memalukan negara.

Pada 15 Ogos, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) mengumumkan lesen operasi kilang nadir bumi milik syarikat perlombongan Australia, Lynas Corp itu diperbaharui selama enam bulan.

Sebelum ini, lesen operasi Lynas dilanjutkan selama tiga tahun pada 2016 sehingga 2 September tahun ini.

Bagaimanapun, pembaharuan lesen Lynas, yang beroperasi di Gebeng Kuantan itu, kali ini disertakan dengan beberapa syarat utama.

Antara syarat yang dikenakan terhadap kilang nadir bumi itu ialah pemindahan proses 'Cracking and Leaching' ke luar negara dan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

Lynas juga mesti menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula residu radioaktif WLP sebagai Condisoil dalam bidang pertanian.

Perdana menteri juga menjelaskan bahawa adalah sukar bagi kerajaan untuk memutuskan mengenai isu itu selepas pakar mengesahkan bahawa tidak bahaya.

"Pandangan orang ramai satu perkara, pandangan pakar pula satu perkara lagi. Adakah kamu mengikut pandangan popular atau mengikut pandangan pakar? Jika mengikut pandangan popular, tiada apa yang boleh dilakukan kerana setiap kali kita bercadang melakukan sesuatu, akan ada yang menentangnya," katanya.

Dr. Mahathir berkata kerajaan mempunyai pilihan, sama ada menghapuskan industri dan hilang kredibiliti dari segi berurusan dengan pelaburan langsung asing, atau meneruskannya dan mengurus apa yang dianggap sebagai masalah.

"Kita boleh mengurus masalah itu. Tidak ada masalah. Sebenarnya di Kabinet, kami telah membincangkannya," kata beliau. - BERNAMA