Terdapat empat fakta penting di dalam kenyataan beliau tersebut. Pertama, Kerajaan tidak boleh ‘menghalau’ Lynas keluar dari Malaysia kerana syarikat tersebut telah melabur hampir RM1 bilion di negara ini. Kedua, impak jika kerajaan berbuat demikian, pelabur-pelabur lain akan perhati dan besar kemungkinan akan turut lari jika keadaan tersebut berlaku.

Ketiga, kajian pakar menunjukkan kesan radioaktif pada tahap paling rendah dan tidak berbahaya kepada kesihatan dan yang terakhir sekali 600 orang pekerja rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan.

Kenyataan Perdana Menteri mengenai pelabur asing sangat tidak konsisten dan kadang-kadang dilihat 'double-standard'.

Sebagai contoh, Johor mempunyai sebuah projek pembangunan yang dinamakan sebagai "Forest City".

Forest City ialah sebuah projek bandar pintar yang dibangunkan pada tahun 2015 di atas empat pulau buatan dan sehingga akhir tahun lalu telah mewujudkan sebanyak 1,298 pekerjaan kepada penduduk tempatan atau rakyat Johor.

Ia merupakan projek usahasama antara Malaysia dan syarikat dari China.

Projek mega ini dijangka akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Johor selain akan berlakunya lonjakan nilai hartanah, pemindahan teknologi dan kemasukkan industri berdaya maju yang akan dinikmati oleh negeri dan rakyat Johor.

Sebagai contoh, satu pembinaan kilang pengeluaran Sistem Binaan Berindustri (IBS) terbesar di Malaysia akan dibina di Forest City dan bakal menjadi kemudahan seumpamanya yang terbesar di dunia apabila disiapkan kelak.

Kerajaan Malaysia pada tahun 2016 telah mengumumkan empat insentif bagi memajukan pulau buatan tersebut antaranya dengan mengumumkan Forest City sebagai zon bebas cukai keempat di Malaysia bagi merangsang kemasukan pelaburan global sekaligus meletakkan Forest City sebagai pembangunan bertaraf antarabangsa.

Namun begitu, Forest City yang akan mengubah Johor sebagai "Dubai ASEAN" ini telah mendapat reaksi dan layanan yang berbeza daripada Tun Dr Mahathir sejak sebelum PRU-14 lagi.

Antara kenyataan yang pernah dikeluarkan adalah "saya harap Forest City akan betul-betul jadi 'forest' (hutan), penduduknya terdiri dariada kera, monyet dan sebagainya", semasa ucapan di Mesyuarat Agung pertama PPBM pada Disember 2017.

Pendirian negatif Tun Mahathir itu diteruskan bilamana beliau menjadi Perdana Menteri dengan menyatakan kediaman di Forest City tidak boleh dijual kepada orang asing dan tidak akan memberikan visa kepada warga asing yang tinggal di Forest City.

Ia ditambah dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyatakan pembangunan di Forest City tidak memberikan keuntungan kepada negara.

Kenyaatan dangkal ini sebenarnya bercanggah dengan fakta sebenar yang mana Forest City ini akan berikan keuntungan kepada Johor seperi kutipan cukai, peluang pekerjaan yang dijangka akan meninggkat sehingga 220,000 menjelang tahun 2035 dan pelbagai lagi.

Jika dalam isu Lynas, Tun Mahathir risau mengenai isu pelabur akan lari jika Lynas ditutup, maka dalam isu Forest City, Perdana Menteri perlu mengambil pendekatan sama iaitu untuk memberikan kerjasama agar projek ini terus berjalan dan menjana pendapatan serta meningkatkan ekonomi negara.

Jika tidak, ia akan memberikan persepsi buruk kepada pelabur luar terutamanya dari China mengenai sikap ketidakadilan kerajaan Malaysia dalam melayan pelabur negara itu yang datang ke Malaysia.

Apa yang paling penting, jika hendak dibandingkan kadar pulangan daripada segi ekonomi antara Lynas dan Forest City, pulangan pelaburan untuk Forest City adalah jauh lebih tinggi iaitu bernilai RM410 bilion berbanding dengan Lynas yang hanya pada sekitar RM1 bilion.

Jika mahu dibandingkan daripada segi peluang pekerjaan, Forest City juga jauh meninggalkan Lynas dengan memberikan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada orang tempatan.

Oleh itu, Tun Mahathir perlu bersikap konsisten dengan dasar pelaburan luar dan dalam negara dan tidak bersikap 'double-standard' terutamanya bila melibatkan isu-isu berkaitan negeri Johor.

* Penulis adalah Ahli Dewan Muda Johor (DMJ)

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan Malaysia