Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, daripada terus berpolemik, lebih baik memenuhi jemputan Lynas dan selepas itu membuat komen berdasarkan fakta.

"Sebagai ahli politik Malaysia Baharu ini, kita perlu berpolitik berteraskan ilmu, fakta dan maklumat yang tepat. Untuk itu kita kena kerja lebih, tidak cukup komen di KL (Kuala Lumpur), kena turun ke lokasi bagi melihat sendiri.

"Oleh sebab itu kena wujud budaya baharu dan atas sebab itu juga kita (Bersatu) turun sendiri untuk melihat keadaan di kilang memproses nadir bumi ini," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke kilang Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng hari ini.

Yang hadir sama tiga lagi Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu iaitu Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Wan Mohd. Shaharir Wan Abdul Jalil dan Dr. Faiz Na'aman.

Wan Saiful berkata, menerusi lawatan itu, pihaknya melihat potensi di Lynas adalah besar dan mereka menyokong kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan kilang tersebut boleh memberi pulangan tinggi kepada negara.

"Banyak kontroversi yang diwujudkan berdasarkan kepada fahaman dan ideologi tertentu. Penting untuk kita mendapatkan fakta sebenar berhubung kilang ini.

"Kita harap mereka yang tertanya-tanya berhubung Lynas supaya datang sendiri ke kilang ini untuk mendapatkan fakta bukan membuat propaganda yang tidak berdasarkan kepada fakta," tegasnya.

Beliau berkata, penekanan Malaysia adalah negara yang mana ekonominya adalah terbuka, sehubungan itu perlu dipastikan keyakinan pelabur yang masuk di negara ini diteruskan.

"Ekonomi kita adalah konsep terbuka dan negara yang sentiasa berdagang dengan negara lain, kita kena sentiasa konsisten, apabila ada pelabur dan mematuhi pula peraturan yang kita sendiri tetapkan, kita perlu teruskannya," katanya. - UTUSAN ONLINE