Ukiran ais tersebut yang mampu mengekalkan bentuk asalnya sekurang-kurangnya dalam tempoh masa dua jam, dihasilkan dengan kerjasama Bikers Chef Malaysia diketuai tiga cef iaitu Sabri Hassan, Ahmad Tarmizi Ismail dan Harun Jalil.

Pengurus Besar Lost World of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, ukiran ais tersebut dibuat bagi menggambarkan elemen rekaan membabitkan beberapa tarikan dalam taman tema berkenaan.

Beliau berkata, ia meliputi Lost World Water Park, Lost World Amusement Park, Lost World Hot Springs, Lost World Petting Zoo, Lost World Tiger Valley, Lost World Tin Valley dan Lost World Adventure Park.

"Untuk menjayakan cubaan rekod ini, antara kriteria minimumnya ialah ukiran ais tersebut perlu kelihatan serupa seperti yang dicadangkan dengan mencapai lebar sekurang-kurangnya 60 meter.

"Ia merupakan satu tugasan mencabar kerana bukan sahaja negara kita mempunyai iklim tropika tetapi terdapat juga kolam air panas berdekatan, namun akhirnya kami berjaya," katanya.

Sebanyak 250 blok ais digunakan bagi menyiapkan ukiran ais tersebut dalam tempoh masa selama 26 jam. - UTUSAN ONLINE