Beliau berkata, Syawal bakal menjelang tidak lama lagi dan beliau percaya ramai sudah mula berasa teruja untuk pulang beraya di kampung.

“Namun, saya ingin mengingatkan kita semua termasuk diri saya sendiri bahawa Ramadan merupakan bulan di mana kita beribadat manakala Aidilfitri merupakan hari kita meraikan kejayaan beriba­dat sepanjang bulan Ramadan.

“Jadi, marilah kita melengkapkan ibadat kita di bulan Ramadan ini dengan cuba mendapatkan keberkatan Lailatul-Qadar. Sesungguhnya malam Lailatul-Qadar menjanjikan pahala berlipat ganda atas segala amalan yang kita lakukan di samping mendapatkan keampunan daripada Allah,” katanya menerusi blog beliau, www.najibrazak.com hari ini.

Perdana Menteri turut meng­ingatkan semua yang ingin pulang ke kampung agar berhati-hati di jalan raya supaya selamat sampai ke destinasi agar orang yang tersayang menerima kepulangan kita di kampung dalam keadaan ceria.

Pada masa sama, beliau mengambil peluang untuk memperingati jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan yang tidak dapat meraikan hari perayaan bersama keluarga mereka.

Kata beliau, mereka kini sedang berkhidmat di serata tanah air bagi memastikan rakyat Malaysia selamat menjalani ibadah puasa dan Aidilfitri dalam keadaan aman dan harmoni.

“Amat besar jasa mereka dan kita rakyat Malaysia memberikan setinggi-tinggi penghargaan kepada merekai,” katanya.