Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah membuka tawaran permintaan untuk cadangan (RFP) untuk membida kontrak tersebut.

Katanya, pada masa sama, pihaknya mencadangkan supaya keuntungan diperoleh pihak yang memenangi kontrak tersebut, dimasukkan ke dalam sebuah tabung untuk masa depan pesawah dan ahli keluarga mereka.

"Sebahagian keuntungan ini mestilah masuk dalam tabung pelaburan yang kita akan agihkan kembali kepada petani. Mungkin buat caruman insurans untuk tanaman.

"Selain itu adalah bagi tujuan menjaga kebajikan petani dan nelayan. Ini kerana setelah 60 tahun merdeka, keuntungan daripada industri padi ini tidak dapat dirasai petani," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 dengan tema Pembangunan Industri Padi Beras Secara Komersial yang dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Salahuddin menjelaskan bahawa fungsi pihak yang bakal mengambil alih Bernas nanti bukanlah semata-mata membuat keuntungan dengan mengimport dan menjual beras kepada pemborong.

Sebaliknya kata beliau, peranan pihak itu merangkumi lima tanggungjawab sosial termasuk menjaga keselamatan makanan menerusi stok penyimpanan beras dan menjadi pembeli padi terakhir.

"Bukanlah mudah untuk mencari model perniagaan ini (menggantikan Bernas). Oleh itu, mana-mana pihak yang berhasrat, boleh kemukakan cadangan dan pihak kementerian akan meneliti di peringkat akhir untuk dibawa ke Kabinet," katanya lagi. - UTUSAN ONLINE