Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, pemeriksaan oleh pihak berkuasa juga mendapati hanya lima daripada 32 kilang itu mempunyai permit untuk mengimport plastik terpakai daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.

Katanya, kerajaan negeri melalui jabatan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PBT akan mengetatkan tindakan penguatkuasaan dalam usaha membanteras kilang haram di seluruh negeri ini.

"Kita akan melaksanakan operasi bersepadu supaya tidak ada lagi kilang kitar semula plastik haram di negeri ini," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JAS negeri, Norhazni Mat Sari.

Veerapan berkata, pihak berkuasa turut mengambil tindakan terhadap premis kitar semula yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Tindakan itu melibatkan 33 notis amaran, tiga tawaran kompaun, tiga kertas siasatan dibuka, 12 sitaan operasi kelengkapan dan satu perintah larangan," ujarnya.

Sementara itu, Norhazni memberitahu, polisi JAS untuk menyokong permohonan pengimportan plastik terpakai ialah bahan itu mesti dalam keadaan bersih, tidak dicemari sisa kimia dan melakukan buangan berjadual.

Bagi permohonan proses kitar semula plastik, tambahnya, premis mestilah terletak di kawasan industri, serasi dengan kilang sekitar, memiliki sistem kawalan pencemaran udara yang baik dan sistem pengolahan efluen bagi premis melakukan pencucian plastik. - UTUSAN ONLINE