Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud berkata, sejak 2015 hingga kini lima kes direkodkan di negeri ini yang kesemuanya membabitkan wanita yang menawarkan perkhidmatan memasang pendakap gigi palsu.

Beliau menjelaskan, kes pertama pada tahun 2015 melibatkan seorang wanita yang telah dijatuhi hukuman denda RM20,000 diikuti kes seorang lagi yang turut didenda RM25,000.

"Dua lagi kes pada tahun lalu, seorang daripadanya didenda RM40,000 manakala seorang lagi telah dilepas tanpa dibebaskan dan suspek bertindak melarikan diri ke Australia.

"Pada tahun ini, ada satu kes yang masih dalam siasatan melibatkan seorang pelajar," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kesihatan Pergigian Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu 2018 di Stadium Gong Badak, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohamad Jusoh dan Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Pergigian), Dr. Kamariah Seman.

Beliau memberitahu, kesemua mereka yang terbabit dalam kegiatan menawarkan perkhidmatan pendakap gigi palsu itu telah mempelajari 'ilmu kedoktoran' menerusi Facebook dan YouTube.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai agar mengelak menjadi mangsa doktor tidak bertauliah, dan jangan mudah terpedaya dengan tawaran harga lebih murah berbanding di pasaran.

Katanya, perkhidmatan pergigian haram boleh memberi kesan buruk kepada orang ramai seperti kesakitan teruk, jangkitan kuman atau infeksi, ulser mulut, gigi longgar, pergerakan gigi luar biasa, karies gigi, kehilangan gigi, gusi bengkak serta bernanah. - UTUSAN ONLINE