Rungutan itu disuarakan pengguna Facebook, yang antaranya menggunakan akaun Zamre Haji Yahya iaitu meminta pihak penganjur mengambil iktibar serta meningkatkan sistem sedia ada.

Menerusi hantaran yang dimuat naik pemilik akaun itu ke dalam halaman Facebook Langkawi Sana Sini II, orang ramai terutamanya warga emas dan kanak-kanak terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan pas masuk di kaunter pendaftaran.

“Next LIMA... Sila ambil iktibar, perbetulkan sistem agar lebih lancar dan tak memenatkan pengunjung!! Dah berjam-jam orang-orang tua, budak-budak menunggu dek kerana nak ambil gelang (pas masuk),” katanya dalam hantaran dibuatnya pagi semalam.

Perkongsian itu mendapat lebih 400 komen yang rata-rata bersetuju dengan pandangan itu, selain 758 tanda suka, sedih dan marah daripada pengguna Facebook yang lain.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Amera Sabrena Ahmad Sobri memberi cadangan agar penjualan tiket masuk ke MIEC diperluaskan ke lokasi lain bagi memudahkan orang ramai.

“Pada LIMA akan datang boleh dicadangkan agar kiosk-kiosk pembelian tiket masuk dibuka di Jeti Kuah, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi atau di lobi-lobi hotel rasmi.

“Pengunjung ada pilihan untuk dapatkan tiket masuk dengan lebih mudah dan mengelak kesesakan di MIEC. Juga perlu untuk lantik wakil agensi yang sah daripada ditipu ulat tiket,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang sedia maklum dengan masalah itu memohon maaf kepada pengunjung selain komited untuk menambah baik sistem pendaftaran dan pembelian tiket pada masa akan datang.

“Saya juga dimaklumkan bahawa berlaku kesesakan di pintu masuk utama dewan MIEC sejak awal pagi dengan kehadiran yang sangat ramai untuk mendapatkan tiket.

“Ini adalah kerana keperluan untuk melaksanakan tapisan kerana keselamatan semua adalah keutamaan kami. Kita memang menyediakan kemudahan tiket secara dalam talian, bagaimanapun saya memohon maaf di atas kekalutan yang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar hari terakhir LIMA ‘19 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE