Titah baginda, pameran LIMA ini juga dapat menunjukkan (show-case) aset-aset dan peralatan tentera yang moden dan terkini, iaitu ‘state-of-the-art’ persenjataan, sistem-sistem persenjataan, pelbagai jenis kapal terbang dan kapal laut, Unmanned Aerial Vehicles (UAV) serta drone, sistem komunikasi masa kini, pelbagai jenis kenderaan tentera dan sebagainya.

“LIMA mampu menyediakan beberapa opsyen atau pilihan yang terbaik untuk negara mengkaji, menilai dan seterusnya memilih sesuatu jenama aset mengikut kesesuaian serta kehendak Perkhidmatan masing-masing bagi memperkukuhkan pertahanan negara,” titah baginda.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa (LIMA) 2019 yang diadakan di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), Langkawi tengahari tadi.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong.

Turut berangkat sama ialah anakanda-anakanda baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat menambah bahawa pameran ini juga turut dapat memberi peluang kepada negara amnya dan Angkatan Tentera khasnya merancang hala tuju pembangunan organisasi dari segi peralatan, aset, teknologi, kapabiliti, kapasiti, doktrin dan lain-lain aspek yang berkaitan.

Antara pameran yang dilawati baginda ialah BHIS, Luerssen, Airbus, Leonardo, Stride dan Gading Galaxy. – UTUSAN ONLINE