Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,

Fuziah Salleh berkata, cadangan itu bukan sahaja perlu dilihat kesannya terhadap bidang pendidikan tetapi sosial masyarakat negara ini.

“Bukan setakat kesan pendidikan sebab masyarakat pada hari ini agak sensitif tentang pekara ini. Sama ada mereka bersedia atau tidak.

“Contohnya pendidikan seks, ini satu subjek yang wajar kita ajar tetapi sama ada masyakat bersedia atau tidak. Ini antara isu yang sama,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Memasak Bubur Lambuk Q-Fish dan Promosi Jualan Ikan di Pasar Nelayan Sepat di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya kerajaan memperkenalkan mata pelajaran khusus bagi mengenali agama lain selain Islam di peringkat sekolah dan universiti.

Presiden MBM, Jufitri Joha dilaporkan berkata, mata pelajaran agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memberi peluang kepada pelajar memahami agama lain.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak pelbagai pihak termasuk Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bersama 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang beranggapan masih ramai pelajar muslim di negara ini gagal memahami serta mengaplikasikan ilmu agama Islam yang sepatutnya diajar di alam persekolahan. - UTUSAN ONLINE