ABDUL MANAP DIM

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Abdul Manap Dim berkata, pihaknya setakat ini mempunyai maklumat awal mengenai perkara tersebut namun semakan menyeluruh perlu dilakukan.

“Kita akan mengaudit beberapa bank yang mempunyai transaksi pesisir di Labuan yang berkemungkinan ada isu pindahan harga iaitu pembahagian keuntungan yang mungkin tidak setara antara entiti di Labuan dan di Semenanjung.

“Ini kerana kedua-dua tempat ini mempunyai kadar cukai berbeza, kita sudah mula semakan dan sedang menyusuli maklumat-maklumat daripada pihak berkenaan, kita kena tunggu maklumat, ia melibatkan jumlah cukai besar mungkin ratusan juta ringgit,” katanya kepada pembe­ri­ta selepas melancarkan Op Mega 2017 di Menara Hasil di sini hari ini.

Menurut Abdul Manap, audit terhadap bank-bank berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sempena Op Mega, iaitu inisiatif daripada LHDN untuk meningkatkan pematuhan cukai.

“Kes ini bagaimanapun tidak akan selesai dalam tempoh sebulan dan kami akan terus menyemak maklumat berkaitan sebelum dapat menyelesaikannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Abdul Manap, pihaknya yakin sasaran kutipan cukai sebanyak RM127 bilion bagi tahun 2017 akan berjaya dicapai berdasarkan trend pembayaran cukai buat masa ini.

“Sekarang ini, kutipan cukai sudah hampir RM109 bilion, kita ada sebulan lebih lagi dan sasaran RM127 bilion masih dikekalkan, Insya-Allah akan tercapai dengan kerjasama semua pihak.

“Bagi tahun depan pula, kita menyasarkan kutipan cukai sebanyak RM134.7 bilion berdasarkan pengumuman Bajet 2018 baru-baru ini,” katanya.

Terdahulu ketika Abdul Manap membacakan teks ucapan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah sempena pelancaran Op Mega itu, beliau berkata, operasi dari 20 November sehingga 1 Disember itu melibatkan tiga komponen utama iaitu pendidikan cukai, aktiviti pungutan dan aktiviti audit serta siasatan.

“Hampir 5,000 orang pegawai di jabatan dan cawangan LHDN akan digemblengkan untuk turun padang menemui orang ramai, bagi memberi pendidikan cukai melalui aktiviti pematuhan, mengedarkan risalah berhubung kesedaran percukaian dan maklumat-maklumat baharu berkaitan,” kata Sabin.

Berhubung pengumuman Bajet 2018 mengenai pengurangan kadar cukai individu, Sabin berkata, pengurangan hasil yang dijangka adalah sebanyak RM1.3 bilion namun pihaknya yakin cabaran berkenaan mampu dihadapi dan strategi terbaik akan disusun pihak pengurusan.