Pengarah LHDN Negeri Selangor, Amnah Tawil berkata, program tersebut merupakan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) LHDN yang bertujuan membantu insan-insan memerlukan serta menyebarkan mesej kasih sayang kepada masyarakat.

Menurutnya, usaha itu juga akan diperluaskan ke beberapa hospital lain seperti di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, esok.

“Program ini adalah anjuran Pejabat Pengarah Negeri Selangor (PPNS) dan objektifnya adalah untuk membantu pesakit yang dimasukkan ke wad dengan kemudahan kit peralatan asas.

“Selain itu, beberapa buah kerusi roda turut disumbangkan kepada hospital-hospital terlibat untuk kegunaan pesakit di samping dapat memupuk rasa kasih sayang dalam kalangan warga kerja LHDN terhadap masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Cawangan Shah Alam, Lim Kien Thai; Pengarah Siasatan Shah Alam, Kamarudzaman Bahrain; Pengarah Siasatan Klang, Hamdi Ahmad Khatidin dan Pengarah Siasatan Klang, Ammar Johari.

Amnah menambah, kit peralatan asas dan kerusi roda berkenaan adalah sumbangan ikhlas daripada seluruh warga kerja LHDN di bawah seliaan PPNS iaitu Cawangan Klang, Shah Alam, Petaling Jaya serta Cawangan Siasatan Klang dan Siasatan Shah Alam. - UTUSAN ONLINE