Sebaliknya, penanda aras yang berbeza antara setiap negeri, bandar dan luar bandar amat diperlukan supaya realiti kadar kemiskinan dapat ditentukan sekali gus kerajaan dapat merangka strategi menangani perkara tersebut.

Apa yang lebih penting, statistik nisbah kemiskinan itu juga perlu dilakukan secara berkala supaya maklumat yang diperoleh masih ‘segar’ dan diguna pakai.

Itu pandangan Pengarah Pengurusan Penyelidikan, Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Kewangan Islam Global (Inceif) Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid yang turut merasakan nisbah kemiskinan rasmi Malaysia pada tahap 0.4 peratus ketika tahun 2016 itu sudah terlalu lama dan perlu dikemas kini.

Baharom malah berpendapat pembahagian penanda aras terutamanya melibatkan bandar dan luar bandar amat penting bagi memastikan nisbah kemiskinan sesuatu kawasan ditangani secara mikro.

“Kos sara hidup berbeza mengikut negeri, bandar dan luar bandar. Kita tidak boleh lagi meletakkan satu sahaja penanda aras kerana mungkin RM8 hingga RM10 sudah mencukupi untuk berbelanja di kampung tetapi tidak di bandar.

“Saya tidak mengatakan nisbah kemiskinan negara pada tahap 15 peratus seperti dikeluarkan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu tepat kerana mungkin 0.4 peratus itu sendiri juga tidak tepat. Kadar kemiskinan sebenar mungkin berada di tengah-tengah antara kedua-dua angka itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Semalam, Pemantau Khas Krisis Kemiskinan dan Hak Kemanusiaan PBB, Philip Alston mempersoalkan dakwaan Malaysia yang kononnya negara ini hampir menghapuskan kemiskinan dalam kalangan masyarakatnya kerana nisbah rasmi dikeluarkan kerajaan adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan realiti sebenar.

Alston mendakwa negara mempunyai kemiskinan signifikan iaitu pada nisbah 15 peratus dan bukannya 0.4 peratus kerana angka rasmi yang dikeluarkan itu bergantung kepada kiraan lama dengan paras kemiskinan masih di tahap sama di sebalik kos sara hidup yang meningkat.

Buat masa ini, Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) yang digunakan bagi merumuskan tahap kemiskinan negara ketika ini diletakkan pada tahap RM980 di peringkat nasional, lebih besar daripada PLI yang disasar dalam Matlamat Pembangunan Mampan 1 pada AS$1.25 (RM5.23) sehari.

Kadar kemiskinan berkenaan dikira mengikut standard yang diterima antarabangsa berdasarkan kepada edisi kedua Canberra Group Handbook on Household Income Statistics (2011) yang diterbitkan oleh PBB. - UTUSAN ONLINE