Ingat, dalam prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang memberi imuniti pun tidak membenarkan Ahli Parlimen menyentuh soal urusan mahkamah. Ini selari dengan prinsip subjudis. Jika dilanggar, ia dianggap menghina mahkamah.

Oleh itu, apa lagi di luar dewan. Tujuannya bagi mengelakkan sebarang tindak-tanduk sama ada melalui perbuatan atau kenyataan yang boleh memberi tekanan serta mempengaruhi keputusan hakim sekali gus memelihara kebebasan badan kehakiman.

Namun dalam keputusan mahkamah ke atas seorang penceramah bebas yang juga aktivis sebuah parti kerajaan, seolah-olah prinsip subjudis tidak wujud. Sana sini, kenyataan akhbar dikeluarkan. Ulasan terbuka dibuat mempertikaikan itu dan ini.

Sedangkan rakyat diajar menghormati institusi keadilan. Tidak bersetuju keputusan hakim, ada salurannya dengan mengemukakan rayuan.

Bukan mengheret isu ini dalam perdebatan terbuka yang dikhuatiri membentuk persepsi tertentu yang mungkin mempengaruhi kelak. Nak pula dibuat pihak yang sedang berkuasa.

Maka dalam prosiding rayuan nanti berhujahlah sebaik mungkin bagi meyakinkan hakim, tetapi elakkan di luar. Setiap kes tidak sama. Salah tidak atau berat ringan hukuman, hakim tentukan berpandukan fakta serta akta dan ingat, dalam kes ini Jabatan Peguam Negara yang merayu hukuman sembilan bulan penjara itu ditingkatkan.

Malaysia baharu memang meraikan kebebasan bersuara, tetapi setiap kebebasan harus berpandukan undang-undang. Di Thailand ada undang-undang lese-majeste, begitu juga di Malaysia yang antaranya terkandung dalam Akta Hasutan. Cuma hukuman antara dua negara ini berbeza, Thailand jauh lebih berat. -UTUSAN ONLINE