Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang, mangsa, Roheemee  Da-oh, 48, bekerja sebagai buruh lombong itu dipercayai tergelincir lalu terjatuh dalam palong membersih bijih besi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja berhampiran palong lombong terbabit.

Katanya, kejadian itu disedari seorang rakan sekerjanya dan bertindak segera menutup suis mesin itu yang sedang mengisar badan mangsa.

“Sebaik sahaja mesin itu dapat dihentikan, saksi melihat mangsa yang masih bernyawa dalam mesin berkenaan dengan badan berlumuran darah.

“Mereka membantu mengeluarkan mangsa daripada mesin terbabit dan beberapa minit kemudian mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, mangsa berasal dari Narathiwat, Thailand bekerja di lombong bijih berkenaan sejak lapan bulan lalu sebagai operator mesin.

Katanya, mangsa bertanggungjawab membuat kawalan dan memeriksa perjalanan mesin dan palong sepanjang masa.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum dituntut isterinya dibawa balik ke Thailand malam tadi.

“Kes kematian mangsa di klasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. - UTUSAN ONLINE