SEORANG petugas kesihatan bersama bayi yang dilahirkan dalam sebuah bas
SEORANG petugas kesihatan bersama bayi yang dilahirkan dalam sebuah bas ekspres dekat Tapah semalam. - UTUSAN ONLINE/Gambar Media Sosial

Mohammad Faisal SH Omar, 28, yang juga merupakan pemandu kedua bas tersebut kesal dengan apa yang berlaku dan telah pun memadam gambar serta rakaman video itu di laman Facebook miliknya.

Katanya, dia sama sekali tidak menyangka tindakannya itu mengundang rasa kurang senang ibu bapa bayi berkenaan sehingga melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.

“Saya mohon maaf kerana memuat naik berita kelahiran bayi itu dan tidak sangka ia menyebabkan pasangan tersebut tidak selesa. Niat saya hanya untuk berkongsi rasa gembira dengan kelahiran itu.

“Saya telah pun memadamkan gambar dan video tersebut dan meminta mereka yang turut berkongsi mengenainya agar tidak menyebarkannya lagi. Sekali lagi saya minta maaf kepada mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang semalam, seorang wanita selamat melahirkan bayi perempuan di bahagian tempat duduk penumpang belakang sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor ke Ipoh.

Difahamkan, wanita itu yang turut ditemani suaminya menaiki bas itu dari ibu negara untuk ke Ipoh dan mula berasa sakit untuk bersalin di kawasan Ladang Bikam di Sungkai sebelum selamat melahirkan bayi tersebut.

Pemandu bas kemudian memberhentikan kenderaan itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah utara sementara menunggu ambulans untuk bantuan. - UTUSAN ONLINE