Lelaki berusia 25 tahun yang juga positif saringan ujian air kencing itu ditahan berdekatan kuil berkenaan tanpa sebarang pengenalan diri.

Sewaktu ditangkap, suspek yang tidak bekerja itu ditahan bersama dengan sepana paip yang dipercayai digunakan untuk memecahkan patung-patung di kuil berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pengerusi kuil tersebut pada pukul 1.50 pagi hari ini berkaitan 15 patung dalam rumah ibadat itu telah dirosakkan.

"Bertindak atas maklumat, pada pukul 4.15 pagi, sepasukan polis telah berjaya menangkap satu lelaki warga Indonesia dengan kerjasama orang awam.

"Pihak polis turut merampas sebatang sepana yang disyaki digunakan oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hong Shuan menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang kenyataan mahupun spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan polis.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 295, Seksyen 427 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963. - UTUSAN ONLINE