Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden (DSP) Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada 7 Ogos lalu ketika pelajar berkenaan tiba berhampiran sekolah kira-kira pukul 7.05 pagi.

Katanya, teman lelaki yang dikenalinya hujung bulan lalu telah datang dan mengajak mangsa menaiki sebuah kereta Perodua Alza.

"Suspek telah membawa mangsa ke sebuah rumah di Felda Gugusan Palong dekat Ladang Geddes dan mangsa mendakwa dia telah dirogol di situ.

"Susulan aduan polis yang dibuat mangsa, polis telah menahan suspek pada Jumaat lalu. Polis turut merampas dua buah telefon bimbit daripada lelaki itu," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, suspek yang juga pekerja swasta tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan keputusan ujian air kencing negatif dadah.

Tambahnya, berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku melakukan hubungan seks dengan mangsa dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Mohd. Hafiz memberitahu, mangsa merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan tinggal di sini bersama adik perempuan berusia 9 tahun dan nenek kerana ibunya bekerja di Singapura. - UTUSAN ONLINE