Dari media saya membaca dia menggelitik dengan cabaran agar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyaman dirinya sekiranya dakwaan dirinya melakukan aksi seks luar tabi’e bersama itu tidak benar.

Dalam kerjaya saya sebagai peguam, taktik ingin mencari perhatian dan mengambil kesempatan seperti ini bukanlah asing. Ini adalah salah satu karektor yang dapat dikesan ke atas individu yang mengidap Histrionic Personality Disorder (HPD) yang juga kerap ditemui dalam golongan homoseks. Nauzubillah!

Pada waktu ini, siasatan belum selesai dijalankan pihak berkuasa. Laporan demi laporan juga telah dibuat oleh pegawai pejabat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri yang menyangkal tuduhan tersebut dan meminta pihak berkuasa menyiasat dengan segera.

Apakah perlu dilayan rengekan budak ini dan masa yang berharga dibazir semata-mata untuk itu? Sedangkan kedudukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku menteri kanan menuntut komitmen, masa dan tumpuan dalam membantu membangun negara.

Saya juga kesal dengan sikap lepas tangan parti apabila kononnya tiada bantahan terhadap pencalonan Haziq Abdullah sewaktu bertanding sebagai Ketua AMK Cabang Santubong pada pemilihan parti yang lepas. Sedang hakikatnya, saya sendiri, selaku Ketua Angkatan Muda Negeri Sarawak pada ketika itu dan Ketua Cabang Santubong tersebut telah memfailkan bantahan rasmi berserta asbab dan bukti menyokong bantahan kami.

Namun, tangan Presiden parti pada waktu itu yang mempunyai kuasa mutlak memberi kebenaran khas telah membenarkannya. Kami masih menyimpan rekod tersebut. Jadi dengan pengakuan jenayah Haziq, hukuman yang sewajarnya perlu diambil diperingkat parti ialah pecat dengan serta merta.

Rasa gelisah kami di akar umbi tentang hala tuju kepemimpinan parti buat masa ini janganlah ditambah lagi.

Abdul Raafidin Majidi

Ketua Cabang Sibu

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak