Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 32,343 orang, diikuti Terengganu (28,991), Pahang (24,316), Perak (4,335) dan Perlis (265).

Di KELANTAN, jumlah mangsa terbaharu itu menyaksikan peningkatan 5,190 orang berbanding 27,153 mangsa malam tadi, menurut portal banjir kerajaan negeri.

Pertambahan mangsa berlaku di Tanah Merah dan Kota Baharu, dan ibu negeri Kelantan itu kini lumpuh akibat limpahan Sungai Kelantan sejak semalam.

Selain kedua-dua jajahan itu, mangsa banjir tersebut membabitkan tujuh lagi jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tumpat.

Sebanyak 15 lagi laluan ditutup pagi ini akibat banjir, menjadikan keseluruhan 37 laluan di Kelantan ditutup kepada lalu lintas berikutan banjir.

Di TERENGGANU, 28,991 mangsa daripada 6,975 keluarga kini berada di 124 pusat pemindahan setakat pagi ini, dengan Kemaman daerah paling teruk terjejas dengan 19,405 mangsa daripada 6,975 keluarga.

Sejumlah 5,022 mangsa di Dungun dipindahkan ke 33 pusat pemindahan, diikuti Kuala Terengganu (3,203/14 pusat), Hulu Terengganu (640/11 pusat), Besut (562/lapan pusat), Marang (115/dua pusat) dan Setiu (44/tiga pusat).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Pahang yang membabitkan lapan daerah bertambah 8,372 orang kepada 24,316 orang pagi ini berbanding 15,944 orang daripada 4,015 keluarga malam tadi. - BERNAMA