Direktorat Pasport Umum Arab Saudi dalam satu kenyataan menyatakan jumlah jemaah yang tiba menggunakan penerbangan adalah 1,412,894 juta, jalan darat 86,359 jemaah dan 16,848 tiba melalui perjalanan laut.

Sementara itu, menurut Tabung Haji, penerbangan terakhir jemaah haji Malaysia dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah esok.

Penerbangan yang disertai 483 jemaah haji dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu akan dibawa terus ke penginapan masing-masing di Mekah, sementara menanti Hari Wukuf.

Sebanyak 30,200 rakyat Malaysia menunaikan ibadat haji tahun ini, tidak termasuk yang jumlah kuota tambahan dan visa haji Furada (visa terpilih terus daripada Kedutaan Arab Saudi).

Berikutan pengumuman kerajaan Arab Saudi, Hari Wukuf (9 Zulhijjah) tahun ini jatuh pada hari Sabtu (10 Ogos), maka para jemaah haji dari seluruh dunia, termasuk Malaysia akan mula bergerak ke Arafah pada hari Jumaat atau dikenali sebagai Hari Tarwiyah.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, jemaah haji Malaysia akan mula bergerak ke Arafah pada awal pagi Jumaat ini yang terbahagi kepada beberapa peringkat.

Beliau berkata, mereka akan bergerak dalam tiga kumpulan perjalanan bas iaitu pada 5.30 pagi, 7.30 pagi dan 9.30 pagi waktu tempatan dengan kira-kira 10,000 jemaah bagi setiap kumpulan.

"Disebabkan 9 Ogos (8 Zulhijjah) jatuh pada hari Jumaat maka kawasan sekitar Masjidil Haram akan mengalami kesesakan kerana ini adalah hari Jumaat terakhir sebelum Wukuf, " katanya yang dipetik dalam laporan Bernama.

Beliau berkata, baki jemaah yang tidak sempat dihabiskan pada sebelah pagi akan digerakkan selepas pukul 2 petang.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis solat hajat dan bacaan Yasin petugas Lembaga Tabung Haji (TH) bagi operasi Masyair di Mina di sini.

Syed Saleh berkata selain itu, pihaknya akan turut menggerakkan program 'Safari Wukuf' iaitu membawa jemaah haji yang kini sedang dirawat di wad perubatan TH untuk berwukuf di Arafah dengan menggunakan lapan bas yang mempunyai kemudahan perubatan dan ambulans.

"Kita akan ketahui jumlahnya (jemaah haji) dalam program ini nanti, kita gerakkan jemaah haji ini pada pagi 9 Zulhijjah ini (Jumaat ini), mereka akan wukuf sebentar sekitar dua jam sebelum dibawa kembali ke pusat rawatan," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, persiapan untuk fasiliti ibadah Masyair di Arafah dan Mina terutamanya khemah untuk jemaah kini sekitar 90 peratus siap dan pihaknya yakin semua fasiliti itu akan disiapkan mengikut jadual sebelum ibadah itu bermula. - UTUSAN