Beliau berkata, antara bidang pelaburan baharu yang berpotensi diterokai usahawan Malaysia di Filipina adalah industri halal.

"Di sinilah, Malaysia sebagai negara Islam yang mempunyai industri halal yang sangat maju, patut mengambil peluang untuk merekayasakan industri halal di Filipina termasuk dalam sektor perbankan Islam, logistik halal, perkhidmatan dan sebagainya," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Katanya, Malaysia sebagai rakan dan jiran tetangga yang rapat, boleh memainkan peranan untuk membantu Filipina dalam pembinaan kapasiti rakyat Filipina dalam pelbagai sektor ekonomi, perdagangan dan sosial terutama di selatan negara itu bagi mewujudkan pembangunan holistik di rantau berkenaan.

"Malaysia adalah rakan pelaburan kedua terbesar di Filipina selepas Singapura dalam kalangan negara ASEAN dan merupakan rakan kelima pelaburan terbesar dengan FDI (Pelaburan Langsung Asing) dicatatkan sebanyak US$287.3 juta pada tahun 2018 atau 8.2 peratus daripada jumlah pelaburan keseluruhan di Filipina," katanya.

Katanya, pada masa ini sudah terdapat syarikat Malaysia yang berpengaruh di Filipina yang terlibat dalam pelbagai sektor pelaburan seperti hartanah, perbankan, automotif,  pembuatan dah hospitaliti.

Sebagai contoh,  katanya, syarikat Malaysia AlloyMtd Group (AlloyMtd) telah mendapat kontrak untuk membangunkan dua projek pusat pentadbiran kerajaan baharu ala 'mini Putrajaya' di Wilayah Bataan dan Nueva Ecija di Filipina melalui unit tempatannya, MTD Philippines Inc. dengan nilai kontrak RM400 juta.

"Bagi saya, inilah yang memberi tambah nilai kepada imej negara kita di Filipina ini," katanya.

Mengenai perkembangan positif politik di selatan Filipina selepas ratifikasi Undang-Undang Organik Bangsamoro seterusnya penubuhan Pihak Berkuasa Peralihan Bangsamoro (BTA), Rizany Irwan berkata ia membuka jalan kepada kerajaan dan pihak swasta Malaysia untuk meneroka peluang dan memberi dimensi baharu hubungan perdagangan dengan Filipina.

"Di selatan Filipina, secara umumnya mereka melihat Malaysia ini sebagai satu 'role model'* kita perlu ambil peluang ini untuk tingkatkan hubungan strategik kita dengan (selatan Filipina), bukan sahaja sebagai rakan damai tetapi kita tingkatkan sebagai rakan pembangunan," katanya.

Menurut Rizany Irwan, selepas menubuhan BTA berkenaan, struktur pentadbiran selatan Filipina akan lebih teratur dan seterusnya menjadi titik tolak kepada kerancakan ekonomi antara Malaysia dengan selatan Filipina dan perkembangan baharu ini perlu dimanfaatkan oleh pelabur Malaysia.

"Kalau rakyat melihat pembangunan dah ada (di selatan Filipina), secara langsung rakyat di sana tidak akan melihat kepada anasir-anasir subversif sebab mereka sudah ada kelangsungan hidup. Bila wujud aktiviti ekonomi, pembinaan infrastruktur, ada sistem pendidikan dan kesihatan yang baik, masyarakat akan mahu terlibat dalam pembangunan di selatan Filipina," katanya.

Nilai dagangan Malaysia dengan Filipina pada tahun 2018 adalah RM26.1 bilion, meningkat 8.7 peratus berbanding RM25.5 bilion pada tahun 2017.

Nilai eksport Malaysia ke Filipina pula pada tahun 2018 adalah RM16.92 bilion manakala nilai import Malaysia daripada Filipina pada tahun berkenaan RM9.19 bilion dan imbangan dagangan masih berpihak kepada Malaysia.-BERNAMA