Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sepanjang lawatan itu, beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai kementerian.

Semasa di Jakarta jelasnya, Saifuddin akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat beliau, Retno L.P. Marsudi untuk berbincang mengenai isu-isu dan kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.

“Selain itu, Saifuddin juga dijangka akan menyampaikan ceramah mengenai Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu di Universitas Paramadina.

“Lawatan ini dijangka akan memperkukuh keakraban dan persahabatan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia untuk kesejahteraan rakyat kedua-dua buah negara,” jelas Wisma Putra. - UTUSAN ONLINE