Tanpa mengira fahaman politik, kira-kira 500 orang umat Islam berkumpul secara aman dan tidak berganjak walaupun dalam keadaan cuaca panas, bagi menyatakan bantahan mereka terhadap pihak yang melakukan penghinaan terhadap Islam itu.

Perhimpunan berlangsung kira-kira satu jam itu digerakkan oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Pas, UMNO dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam negeri ini.

Antara pemimpin yang hadir dalam perhimpunan itu ialah Pengerusi Penaja Ummah negeri, Haziq Asyraf Dun; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Harmizan Abd. Halim.

Harmizan ketika berucap berkata, selama ini rakyat hidup dalam keadaan harmoni namun selepas 10 bulan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kini sudah wujud perpecahan.

Sehubungan itu beliau menyeru semua umat Islam bersatu menentang sebarang tindakan yang menghina kesucian agama tersebut.

"Justeru penyatuaan ummah amat penting, khususnya di saat Islam kini mula dihina. Pelbagai pihak sudah berani mengecam agama Islam termasuk ada yang menghina Nabi Muhammad SAW.

"Kali ini, kita tunjuk solidariti dan bersatu demi agama dan bangsa kita," katanya.

Sementara itu, Haziq Asyraf pula berkata, perhimpunan di sini dan di seluruh negara yang diadakan serentak adalah ingin memberi mesej jelas supaya penghinaan terhadap agama Islam tidak lagi berlaku pada masa depan.

"Apabila Islam dihina kita akan sentiasa bangkit untuk mempertahankannya," katanya.- UTUSAN ONLINE