Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, surat tersebut melalui e-mel ditujukan kepada presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Berhubung statusnya sekarang ketika saya memberi kenyataan ini, kami menganggap beliau bukan anggota parti," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Kompleks di Seri Perdana, di sini hari ini.

"Oleh kerana Anwar baru kembali dari Arab Saudi selepas menunaikan Umrah, beliau tidak membaca e-mel tersebut," katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pelantikan Latheefa dibuat mengikut saluran yang memenuhi keperluan perlembagaan.

"Beliau juga melepaskan keanggotaannya dalam PKR. Jadi pada saya beliau telah memenuhi syarat-syarat utama yang diperlukan," katanya yang juga Menteri Luar.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan, memaklumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa menggantikan Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal daripada yang sepatutnya pada 17 Mei 2020. - BERNAMA