Kali ini, Nasir yang lebih mesra disapa Pak Nasir dan sahabatnya yang juga bekas tentera itu menyahut pula cabaran untuk menamatkan Larian Merdeka Muhibbah sejauh 500 kilometer (KM) yang bermula hari ini.

Kedua-dua mereka yang memulakan larian di Medan Bandar, di sini akan menamatkan larian di Dataran SACC Mall, Shah Alam pada malam ambang merdeka, 30 Ogos ini.

Nasir berkata, permohonan telah dibuat kepada Malaysian Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘Longest Distance Duo Run By Senior Citizens’ yang dijangka mengambil masa selama 12 hari.

“Kami berdua bersemangat untuk menjayakan larian ini, walaupun tahun ketiga berturut-turut saya berlari bersama Krishnan, tetapi saya tetap teruja dan kami merasakan usia bukan penghalang kerana yang penting menjaga kesihatan.

“Sebagai persediaan sejak dua bulan lalu saya akan melakukan larian setiap hari sejauh 20KM untuk mengekalkan stamina," katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan yang dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Asmirul Anuar Aris di sini hari ini.

Program larian yang akan melalui Jalan Persekutuan itu akan berhenti di 12 lokasi selain diraikan dengan kibaran bendera oleh para pelajar di beberapa buah sekolah.

Sementara itu, Krishnan berharap mereka berdua dapat menamatkan larian tersebut dengan lancar dan seterusnya mencipta nama dalam MBOR.

“Saya sangat bersemangat untuk menamatkan larian ini, walaupun pada larian sebelum ini kaki saya mengalami sedikit kecederaan tetapi saya sudah menjalani rawatan.

"Doktor juga sudah beri pelepasan kepada saya malah ahli keluarga turut memberikan sokongan tidak berbelah bahagi," katanya yang turut menjalani latihan fizikal dan berlari sejauh 20KM setiap hari sejak awal tahun. -UTUSAN ONLINE