Larangan itu bagaimanapun dikecualikan kepada pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, gril / barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar (flaring).

Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, Norlin Jaafar berkata, larangan itu di bawah Seksyen 29AA(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memberi kuasa kepada beliau mengeluarkan perintah berkenaan.

"Mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

" Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Norlin berkata, berikutan pengumuman itu, semua pihak diminta tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Di samping itu, katanya, orang ramai di seluruh negara juga diminta memberi kerjasama untuk memadamkan kebakaran kecil serta membuat laporan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang dikesan.

Laporan boleh dibuat melalui JAS ditalian 03-8889 1972 atau 1-800-88-2727, atau Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999. - UTUSAN ONLINE