Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar berkata, kilang tersebut menafikan selepas pihaknya menghubungi syarikat berkenaan untuk pengesahan.

Sehubungan itu, Mohd. Fakhrulrazi meminta syarikat terbabit melaporkan kepada pihak polis sekiranya penularan memo bertarikh 30 Julai tersebut yang lengkap dengan kepala surat dan alamat kilang merupakan satu sabotaj.

“Sebaik memo itu tersebar di media sosial, wakil saya telah menghubungi syarikat itu dan dimaklumkan ia tidak benar.

“Saya berjanji tidak akan mendiamkan diri sekiranya perkara ini terjadi kerana ia menafikan hak umat Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia pagi ini melaporkan memo dalam dwi bahasa tersebut menimbulkan kemarahan banyak pihak.

Kandungan memo tersebut adalah:

“Pihak pengurusan ingin memaklumkan kepada semua pekerja bahawa tidak dibenarkan pergi solat pada waktu bekerja kecuali pada waktu makan tengah hari sahaja.

“Dengan serta-merta jika didapati melanggar arahan, akan dikenakan denda sebanyak RM500 untuk setiap kali kesalahan,”. - UTUSAN ONLINE