Malah beliau turut menafikan dakwaan yang mengatakannya ada mencadangkan Jamal untuk pergi ke Turki atas apa juga alasan.

Dalam Twitter miliknya seperti dilaporkan oleh agensi berita SPA, Khaled yang juga adik kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman menulis: “Malangnya, Washington Post tidak menerbitkan maklum balas kami. Ini adalah satu tuduhan yang serius.”

Beliau kemudiannya menambah: “Maklum balas penuh adalah, duta (Putera Khaled) ada bertemu Jamal sekali pada akhir September tahun lalu secara peribadi untuk perbincangan, dan kedua-dua kami berkomunikasi secara mesej selepas pertemuan tersebut, mesej terakhir yang dihantar kepada Jamal adalah pada 26 Oktober 2017.

“Tidak ada masa di mana Putera Khaled (saya) berbincang apa-apa berkaitan pergi ke Turki kepada Jamal. Putera Khaled tidak pernah berhubung dengan Jamal melalui perbualan telefon. Anda (Washington Post) boleh periksa rekod telefon dan kandungan telefon bimbit untuk menyokong dalam hal ini.”

Putera Khaled menambah: “Seperti yang diberitahu kepada Washington Post, kali terakhir saya berhubung dengan Jamal ialah melalui penghantaran mesej pada 26 Oktober tahun lalu, hampir setahun sebelum kematian wartawan itu.

“Saya tidak pernah bercakap dengannya melalui telefon dan sudah tentu tidak pernah mencadangkannya untuk pergi Turki atas apa juga alasan. Saya meminta kerajaan Amerika Syarikat untuk mendedahkan sebarang maklumat berhubung dakwaan ini.”