Yang DiPertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Tidak Berpencen Malaysia (PVATMTBM) Cawangan Kedah, Sahaimi Majid berkata, kenyataan itu jelas menghina pasukan ATM yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

Katanya, sebagai ahli perniagaan, dia perlu menghormati pihak lain sama apalagi anggota ATM mesti dipandang mulia tanpa ada sebarang kenyataan yang menyakit hati.

"Inilah akibatnya bila ahli perniagaan tidak ambil tahu tentang sejarah negara dan diri sendiri, buat kenyataan ikut perasaan sahaja.

"Sepatutnya dia tidak payah buat kenyataan yang bercelaru, ini sebenarnya kenyataan menghasut sedangkan anggota ATM terus bekerja keras untuk mempertahankan negara agar rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kira-kira 50 orang dari ahli persatuan itu dan pesara tentera turut berada di perkarangan IPD Kuala Muda di sini.

Ahli Jawatankuasa Persatuan 19 Melayu Mech dan selaku Presiden Pertubuhan Si'rah Malaysia, Mohd Zol Hamid, 50, berkata, polis perlu menjalankan siasatan segera selepas laporan ini dibuat.

"Saya minta Yew Yin supaya berprasangka baik terhadap orang lain sama dan jangan memberi pandangan hingga menyusahkan diri sendiri.

"Walaupun telah berjaya dalam bidang perniagaan, jangan terus beri pandangan secara sesuka hati," katanya.

Ahli Majlis Veteran Kebangsaan (AMVK), Mejar Anuar Abdul Hamid, 63, berkata, mana-mana pihak jika ingin hidup bahagia di negara ini, jangan buat kenyataan hingga menguris hati orang lain.

Menurutnya, kenyataan yang di buat oleh Yew Yin itu, adalah berniat jahat.

Manakala pesara tentera, Che Amat Awang, 60, dari Kampung Sebelas Sungai Lalang pula berkata, kes ini perlu disiasat secara terperinci melalui undang-undang yang ditetapkan.

Menurutnya, kata-kata Yew Yin bukan sahaja menghina ATM, bahkan para peneroka Felda, seolah-olah Felda merupakan satu tempat yang teruk dan anggota keselamatan negara ini layak ditempatkan di sana sahaja kerana hanya tahu makan dan tidur. - UTUSAN ONLINE