Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kajian itu akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk mekanisme pelaksanaannya, kerangka undang-undang, keselamatan penumpang, insurans serta isu budaya.

"Kerajaan semalam memutuskan tiada halangan untuk memperkenalkan perkhidmatan e-hailing motosikal di negara ini. Tetapi bukan bermaksud serta-merta kita mengadakan perkhidmatan itu.

"Kita perlu buat kajian mekansime yang perlu diguna pakai dan peraturannya. Di Kementerian Pengangkutan, kita mengutamakan ciri-ciri keselamatan sebelum perkhidmatan itu diperkenalkan.

"Kita akan ambil kira dari semua sudut dan melihat model di negara lain. Kita akan jalankan kajian dan melapor semula kepada Kabinet dalam masa sebulan serta memberi hala tuju dan mekanisme bagaimana ia boleh dilaksanakan," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat Parlimen Seremban di Sekolah Menengah Kebangsaan Panchor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menafikan laporan bahawa kerajaan telah memutuskan supaya perkhidmatan itu dikendalikan syarikat Indonesia, GoJek.

"Mereka cuma datang untuk memberi cadangan kepada kerajaan dan berjumpa Perdana Menteri beberapa hari lepas, belum ada permohonan rasmi daripada syarikat berkenaan," jelasnya.

Katanya, apabila pendekatan berhubung pelaksanaan perkhidmatan itu dimuktamadkan dan pendaftaran dibuka, mana-mana syarikat boleh turut serta.

Beliau menjelaskan, perkhidmatan tersebut hanya akan menjadi pelengkap dan bukannya menggantikan sistem pengangkutan awam sedia ada seperti monorel, LRT atau kereta api.

"Ia sebahagian daripada pengangkutan awam. Terutama di Kuala Lumpur masalah yang dihadapi adalah pada kilometer terakhir. Apabila sampai di stesen mereka hendak ke pejabat atau dari rumah ke stesen, itu yang jadi masalah," ujarnya.

Tambahnya, cadangan memperkenalkan perkhidmatan itu mendapat sokongan kebanyakan menteri Kabinet kerana ia akan membawa kebaikan kepada pertumbuhan ekonomi, industri kecil sederhana dan e-dagang di negara ini. - UTUSAN ONLINE