Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ber­kata, sebelum itu pada awal Oktober nanti, satu sesi khas akan diadakan untuk membentangkan dapatan da­ripada perbincangan oleh Kumpulan Masa Depan TN50 kepada masyarakat umum untuk mendapatkan komen dan maklum balas.

Menurutnya, ia akan diikuti sesi town hall terakhir bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi merumuskan visi yang ingin dicapai sebelum Laporan Belia TN50 siap dan dibukukan pada Disember ini.

“Kini TN50 memasuki fasa kedua melibatkan Kumpulan Masa Depan TN50 membincang dan memperinci aspirasi yang dikumpul daripada sesi-sesi dialog sebelum ini.

“Perbincangan mereka me­rangkumi pelbagai aspek dengan mengambil kira 50,000 aspirasi yang dikumpulkan sepanjang tahun ini daripada lebih 1.5 juta belia di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri sesi perbincangan Kumpulan Masa Depan TN50 yang membincangkan isu Identiti Malaysia dan Nilai di bawah tajuk Kehidupan dan Kesejahteraan.

Kumpulan Masa De­pan TN50 terdiri daripada 200 belia dan mentor daripada pelbagai latar belakang yang dipilih untuk membincangkan rumusan 50,000 aspirasi sebelum mendapat visi bagi 30 tahun akan datang.

Mereka yang terlibat de­ngan Kumpulan Masa Depan TN50 akan bertemu sekurang-kurangnya empat kali bagi membincang dengan lebih mendalam lima tajuk utama yang ditetapkan.

Lima tajuk utama yang dibin­cangkan oleh kumpulan berke­naan adalah Ekonomi dan Pe­ker­jaan; Kehidupan dan Ke­sejahteraan; Tadbir Urus; Masyarakat dan Gaya hidup.

Khairy berkata, Laporan Belia TN50 kelak akan menjadi asas kepada Laporan Akhir TN50 yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri pada tahun hadapan yang menjadi visi negara untuk 2050.

Jelasnya, sepanjang sesi dia­log dijalankan, terdapat keinginan yang kuat untuk me­nyatupadukan rakyat dengan identiti masyarakat Malaysia yang tersendiri lebih-lebih lagi dalam negara pelbagai kaum.

Beliau menambah, ada juga yang menyuarakan kebimbangan berkenaan perubahan teknologi dan mengharapkan ada sistem latihan semula kepada pekerja. Selain itu, sistem pendidikan juga banyak dibincangkan sama ada masih relevan untuk setiap murid.

“Rata-rata generasi muda tidak mahu terlalu mengejar arus kemodenan hingga melupakan nilai-nilai lain yang akhirnya membebankan generasi akan datang dengan hutang, pencemaran alam sekitar dan lambakan pekerja asing tidak terkawal,” katanya.