Dalam satu kenyataan di sini hari ini, SKMM berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kesalahan pegawai yang terlibat dengan pengurusan dana Kumpulan Wang SKMM.

“Di bawah kepimpinan baharu Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diterajui Gobind Singh Deo, SKMM telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembaharuan dan penambahbaikan tatacara dan tadbir urus sejak Mei tahun lalu.

“Antara inisiatif yang dibuat termasuk penamatan pelaksanaan program tanggungjawab korporat sosial bagi pihak menteri dan peruntukan tersebut telah dipindahkan ke perbelanjaan operasi,” katanya.

Baru-baru ini, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 menunjukkan terdapat kelulusan projek-projek atas arahan menteri terdahulu tidak dilaksanakan secara telus kerana dana diluluskan tanpa asas yang jelas.

Secara tidak langsung ia menyebabkan berlaku perbelanjaan yang tidak menepati keperluan yang ditetapkan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

SKMM berkata, pihaknya turut mengemas kini garis panduan sedia ada mengenai had kuasa kewangan bagi memastikan setiap kelulusan melibatkan kewangan diluluskan oleh pihak yang diberi kuasa.

“Pembubaran jawatankuasa kecil yang sebelum ini dipertanggungjawabkan untuk memberi kelulusan terhadap perkara yang berkait rapat dengan penggunaan dana dari Kumpulan Wang SKMM akan dipanjangkan kepada anggota suruhanjaya untuk penilaian dan kelulusan.

“Di samping itu, prosedur standard operasi bagi sebarang kelulusan ditambah baik yang mana setiap projek, isu berbangkit serta perkara yang memerlukan kelulusan pihak pengurusan akan dibentangkan dan diluluskan dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi SKMM sebelum dipanjangkan kepada anggota suruhanjaya,” katanya. - UTUSAN ONLINE