Pengarahnya, Mahasan Mustapa berkata, orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menghantar gambar atau rakaman video ke nombor yang disediakan selepas memaklumkan lokasi, masa dan kesalahan yang ingin dilaporkan.

Katanya, pengadu boleh mengemukakan aduan di talian 0134498997 atau menghubungi terus bilik kawalan JPJ yang beroperasi selama 24 jam sempena hari raya, 09-7666166.

“Kita menggalakkan pengguna jalan raya berkongsi maklumat tentang kesalahan lalu lintas yang telah disaksikan.

“Kita ingin memberi amaran buat pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ops Sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 di Stesen Penguatkuasa Mentara, di sini, petang semalam.

Pada majlis itu, sebanyak 200 cenderamata diagihkan kepada perantau dari Kuala Lumpur yang pulang melalui pintu masuk Gua Musang.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah JPJ negeri, Mohd Apandi Jusoh dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.

Tambah Mahasan, seramai 315 pegawai dan anggota JPJ negeri ini akan terlibat dalam operasi yang bermula 29 Mei hingga 13 Jun ini.

Katanya, anggota jabatan itu juga telah membuat pemeriksaan di lima depoh bas ekspres di negeri ini dan berpuas hati apabila bas berada dalam keadaan baik dan mematuhi semua arahan ditetapkan.

“Selain kaedah pelaksanaan pemeriksaan bas, JPJ turut melakukan rondaan 16 jam sehari di tiga laluan pintu masuk ke Kelantan dan membuat ops khas motosikal.

“Kita juga menjangkakan lalu lintas ke negeri ini tidak berlaku kesesakan teruk walaupun dianggarkan sejuta kenderaan kerana perantau pulang secara berperingkat dan awal ke kampung halaman masing-masing,” katanya. - UTUSAN ONLINE