Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan boleh diambil jika ada kementerian, agensi dan jabatan yang gagal melunaskan bayaran itu walaupun telah diputuskan dalam Kabinet.

“Sekiranya ada pelatih praktikal yang tidak mendapat bayaran sila maklumkan dan saya sendiri akan pastikan pihak kementerian termasuk menteri terbabit ambil maklum untuk tindakan susulan.

“Semalam saya sudah bincangkan perkara ini panjang lebar, perbincangan itu juga turut disertai oleh menteri dan ketua setiausaha dari semua kementerian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Syed Saddiq mengumumkan kadar elaun bagi anak muda yang menjalani latihan praktikal di sektor kerajaan dinaikkan daripada RM300 sebulan kepada RM900 sebulan berkuatkuasa September ini.

Menurut Syed Saddiq, Kementerian Kewangan juga telah sedia maklum mengenai kadar baharu itu dan garis panduan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat untuk lebih jelas.

Selain itu katanya, dalam perbincangan semalam, pihaknya turut menerima laporan walaupun wujud piawaian pemberian elaun kepada pelatih praktikal sebelum ini namun, ia masih tidak dipatuhi.

“Saya mendapat tahu ada kementerian yang tidak laksanakan pun piawaian pemberian elaun berkenaan. Ada satu kementerian ini mengambil lebih 300 pelatih praktikal tapi hanya membayar kepada 50 hingga 60 pelatih sahaja.

“Sebab itu kali ini, saya mahu kementerian melihat kepada bajet mereka terlebih dahulu. Sekiranya mencukupi baru boleh mengambil pelatih berkenaan untuk berada di bawah jabatan atau agensi mereka,” katanya.-UTUSAN ONLINE