Taif, bandar yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Mekah menjadi pilihan kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan projek tersebut bagi mengurangkan beban lapangan terbang di Jeddah.

Pentadbiran Mekah sebelum ini telah mengumumkan lapangan terbang baru itu akan dibuka menjelang 2020 tetapi menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA), pihaknya masih dalam peringkat menawarkan tender pembinaan dan reka bentuk projek tersebut.

Jurucakap GACA, Ibrahim Al-Ruasa berkata, adalah sukar untuk menyiapkan sebuah lapangan terbang baharu dalam masa 18 bulan ketika reka bentuknya masih belum diputuskan.

"Sebarang perkembangan terbaharu akan dimaklumkan kelak," katanya yang dipetik melalui portal berita Saudi Gazette.

Beliau berkata, apabila siap kelak, lapangan terbang baharu itu akan memenuhi standard antarabangsa bagi membolehkan ia menampung peningkatan permintaan oleh syarikat penerbangan dan seterusnya meningkatkan ekonomi sekitar Taif dan Mekah.

Lapangan terbang itu akan dibina di Timur Laut Taif di kawasan seluas 48 juta meter persegi dengan kemampuan mengendalikan enam juga penumpang setahun.

Taif merupakan kawasan pergunungan sejuk yang mempunyai kaitan sejarah dengan Nabi Muhammad SAW apabila baginda dihina dan ditentang ketika cuba berdakwah kepada penduduk di awal usaha dakwah Islam. - UTUSAN ONLINE