Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kulim/Bandar Bharu, Nuraini Yusof berkata, lebih malang, tokoh berkenaan yang baru hendak meluangkan masa untuk membantu belia Felda, mengeluarkan kenyataan yang menggores hati peneroka.

NURAINI YUSOF
NURAINI YUSOF 

Menurut beliau, masih ramai belia Felda yang mengusahakan projek pertanian, perladangan, ternakan dan perniagaan yang telah terbukti berjaya membantu ekonomi belia dan peneroka setempat yang boleh diangkat sebagai ikon.

“Setidak-tidaknya kerajaan mungkin boleh melantik mana-mana individu yang sudah terbukti berjasa kepada peneroka dan belia Felda selama ini. Takkanlah tiada seorang pun layak diangkat menjadi Ikon?,” soalnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas pelantikan selebriti masakan, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang dipilih menerima Anugerah Ikon Felda yang disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3, Rompin, Pahang, kelmarin.

Nuraini yang juga anak peneroka dan belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung Bongsu sebelum bersekolah asrama di luar Felda berkata, isu golongan berkenaan amat dekat di hatinya serta ramai pihak dan oleh sebab itu kerajaan sewajarnya menghentikan politik membabitkan masyarakat Felda.

“Sehingga sekarang saya tertanya-tanya apa kriteria seorang Ikon Felda yang mahu ditonjolkan? Saya secara peribadi lebih berminat mengenali sekiranya ada belia dan anak peneroka berjaya yang masih tinggal di Felda.

“Bukannya sudah diangkat menjadi ikon, baru hendak meluangkan masa untuk membantu belia Felda,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE