membidas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana didakwa melantik seramai 13 ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) bagi mengisi jawatan Pegawai Penyelaras Pembangunan Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di negeri-negeri.

Yang Dipertua Majlis Belia Negeri Perlis, Noor Hairi Noor Mohammed berkata, pelantikan itu merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat yang sebelum ini dijanjikan tiada lantikan politik dalam organisasi itu.

Katanya, sepatutnya jawatan tersebut diisi oleh mereka yang benar-benar layak, bukannya terdiri daripada rakan-rakan menteri berkenaan.

"Ia merupakan bukti jelas bahawa Menteri Belia dan Sukan mengamalkan kronisme dalam pelantikan Pegawai Penyelaras Pembangunan Sukan KBS di negeri-negeri.

"Mungkin janji satu juta peluang pekerjaan itu merupakan janji menteri tersebut kepada golongan pemimpin parti Pakatan Harapan (PH)... ini merupakan satu pengkhianatan besar oleh PH kepada rakyat yang dijanjikan sebelum ini (tiada lantikan politik)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, Mohd Fairos Rusli di laman Facebooknya mendedahkan sekeping surat dari Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai pelantikan 13 orang Pegawai Penyelaras Pembangunan Sukan KBS negeri yang kesemuanya terdiri daripada ahli Armada.

Dalam surat tersebut, yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MSN, Abdul Rashid Yaakub turut memaklumkan bahawa Menteri Belia dan Sukan telah bersetuju dengan pelantikan tersebut.

Sementara itu, Noor Hairi menggesa Syed Saddiq menarik balik keputusan pelantikan terdiri daripada pemimpin politik itu.- UTUSAN ONLINE