Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Nor berkata, untuk mempertahankan Utusan Melayu tidak memerlukan keringat dan amat mudah iaitu melanggan kedua-dua akhbar tersebut setiap hari bagi memastikan kelangsungan hidup institusi bangsa itu.

Beliau berkata, pihaknya juga bersyukur Utusan Malaysia terus diterbitkan dan amat menghargai pengorbanan seluruh kakitangan syarikat ini biarpun gaji mereka tertunggak sejak beberapa bulan.

“Utusan Melayu melambangkan institusi bangsa Melayu. Utusan Malaysia adalah lidah umat Melayu. Maka wajib kita mempertahankan kedua-duanya.

“Caranya tidak susah dan amat mudah iaitu dengan melanggan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! setiap hari. RM2 sehari adalah ‘jihad’ kita untuk mempertahankan warisan bangsa.

“Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan mengambil tanggungjawab ini untuk berkempen dan menyeru seluruh ahli UMNO khususnya ahli Pemuda untuk melanggan akhbar ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hariri berkata, Utusan Malaysia mempunyai sejarah yang panjang untuk negara ini sejak tahun 1939.

“Utusan Malaysia lahir dari keringat leluhur kita yang mahu memastikan orang Melayu mempunyai suaranya sendiri kerana pada ketika itu semua akhbar yang ada dimiliki oleh orang asing.

“Utusan juga memainkan peranan yang amat penting untuk menjadi penyemak dan pengimbang kepada kerana kerajaan untuk memastikan negara dipacu sehingga menjadi hebat seperti hari ini,” katanya.

Tambahnya, maka wajib rakyat negara ini khususnya orang Melayu mempertahankan institusi ini. - UTUSAN ONLINE