Pengerusinya, Ivan Oh berkata, selain dibangunkan dengan lebih menarik, laman web Kiwanis 4.0 itu kini turut disertakan dengan fungsi yang memudahkan orang menyumbang menerusi konsep 'crowfunding'.

Menurut beliau, menerusi konsep itu, orang ramai termasuk syarikat korporat boleh menyumbang secara terus kepada Kiwanis Malaysia pada bila-bila masa dan tanpa perlu melalui proses rumit seperti sebelum ini.

Malah, katanya, sumbangan itu juga boleh bermula serendah RM1 sekali gus tidak membebankan mana-mana pihak selain membuka peluang lebih luas untuk semua pihak tanpa mengira latar belakang untuk menyumbang.

"Konsep menyumbang secara 'crowdfunding' atau dana daripada awam ini merupakan trend terbaru masyarakat antarabangsa untuk mendapatkan dana bagi kerja-kerja amal.

"Sehubungan itu, kita juga mengambil kesempatan daripada revolusi industri 4.0 ketika ini dalam meningkatkan sumbangan dana daripada orang awam bagi menggerakkan kerja-kerja amal yang telah kita rancang," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Persidangan Kiwanis Malaysia Ke-19 dan pelancaran rasmi laman web Kiwanis 4.0 di Batu Feringghi di sini malam tadi yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid.

Sementara itu, Ivan berkata, pelancaran Kiwanis 4.0 juga menjadikan Kiwanis Malaysia sebagai wakil pertama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut dari seluruh dunia yang memiliki kemudahan berkenaan.

Sehubungan itu, ujarnya, beliau berharap laman web Kiwanis 4.0 yang kemudiannya akan dibangunkan dalam bentuk aplikasi telefon pintar dapat menjadi rujukan dan pusat sehenti yang menghubungkan semua kelab tersebut di lebih 80 buah negara ketika ini.

"Inisiatif ini juga bakal mempermudahkan lagi usaha kita dalam menyediakan sebuah kehidupan yang lebih baik khususnya kepada kanak-kanak istimewa yang memerlukan perhatian lebih khusus," katanya.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti Kiwanis Malaysia itu boleh didapati dengan menghubungi talian 03-79312470 atau melayari laman web www.kiwanis.org.my. - UTUSAN ONLINE