Pengarah Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia), Dr. Henry Chan berkata, langkah tersebut perlu dilakukan segera dan jika perlu Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus memperbaiki keputusan yang dibuat oleh menteri-menteri dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia pada 2016 itu.

Jelas beliau, kesan buruk mengabaikan langkah-langkah pencegahan jerebu telah mengakibatkan tahap kesihatan rakyat merosot hingga terpaksa melakukan penutupan beberapa sekolah.

“Sekarang adalah masa untuk semua pihak berkepentingan untuk berusaha ke arah penyelesaian yang sama demi alam semulajadi dan rakyat.

“Kita perlu mencegah dan memantau pencemaran yang besar melalui usaha nasional yang bersepadu, mampan serta jangka panjang, justeru kerjasama serantau dan antarabangsa mesti digembleng untuk tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Mei 2016, MSC peringkat menteri-menteri yang terdiri daripada Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand, bagi mengkaji semula serta meningkatkan langkah-langkah kerjasama untuk memantau, mencegah dan mengurangkan asap jerebu berpunca daripada kebakaran tanah dan hutan di lima negara berkenaan.

Ia termasuk pelaksanaan Sistem Pemantauan Jerebu Sub-Serantau ASEAN, mobilisasi bantuan serantau dan antarabangsa untuk menyokong usaha memadam kebakaran serta pertukaran maklumat antara negara-negara.

Keadaan jerebu di negara kembali buruk apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan pada pukul 11 pagi hari ini menunjukkan tiada stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik dan 46 stesen pula mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana. - UTUSAN ONLINE