Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, ini dapat dilihat menerusi program yang dilaksanakan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Research Sdn. Bhd. (TNBR) yang sentiasa menyokong pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi.

“Pencapaian TNBR ini bukan sahaja memberi manfaat kepada industri tenaga, tetapi boleh dijadikan contoh terbaik kepada GLC lain, bahkan syarikat-syarikat swasta,” katanya berucap merasmikan Hari Terbuka TNB Research 2019 yang bertemakan ‘Energizing Research, Enlivening Innovation’ di sini semalam.

Menurut Isnaraissah, usaha TNB itu turut menyokong kepada inisiatif kementerian ke arah keupayaan inovasi negara di samping meningkatkan kadar pengkomersialan aktiviti penyelidikan dan pembangunan. 

Hari Terbuka TNB Research 2019 yang julung kali diadakan ini merupakan platform terbaik untuk semua pihak berkepentingan, termasuk agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, usahawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi idea dan hasil inovasi. -UTUSAN ONLINE