Menurut beliau, semua pihak sedar bahawa keadaan negara ini bukanlah seperti zaman dahulu kerana berlaku pembangunan pesat yang boleh dilihat dalam pelbagai bidang.

Katanya, ekonomi negara tidak lagi hanya tertumpu kepada bidang pertanian semata-mata, malah Malaysia sudah diiktiraf sebagai sebuah negara perindustrian baharu.

“Jadi, kita boleh dikatakan maju dalam pelbagai aspek pembangunan iaitu baik pembangunan dari segi sektor ekonomi, perindustrian dan perkhidmatan.

“Sebab itu tuntutan paling mendesak pada waktu ini ialah menjana ekonomi dengan cara lebih mampan lagi kerana usaha itu membolehkan kita menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat sama ada di bandar dan luar bandar,“ katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Dialog Bersama Warga Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Dewan Tun Abdul Rahman (DeTAR) Putra, Unimas di sini hari ini.

Yang turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang merangkap Pro Canselor Unimas; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Perumahan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg; Menteri Kemajuan Tanah negeri, Tan Sri Dr. James Jemut Masing; Naib Canselor Unimas, Prof. Dr. Mohamad Kadim Suadi dan Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Datuk Dr. Hatta Solhi.

Kira-kira 5,000 warga Unimas terdiri daripada pensyarah, penuntut dan kakitangan sokongan hadir dalam dialog yang berlangsung selama dua jam bersempena dengan kunjungan pertama Muhyiddin ke universiti berkenaan.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan penyerahan kunci bangunan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Unimas yang baharu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, Malaysia tidak perlu lagi bergantung kepada kepakaran dan kemahiran rakyat asing untuk membangunkan negara.

“Kita sudah dapat membuktikan keupayaan dengan membangunkan institusi pengajian awam (IPTA) seperti Unimas dan 20 lagi IPTA lain serta IPT swasta.

“Jadi, di Malaysia kita sudah ada keupayaan untuk melahir dan membimbing generasi pada hari ini dan masa hadapan yang mempunyai ilmu pengetahuan serta menguasai semua bidang kemahiran dan kepakaran yang pada masa dahulu tidak disediakan tetapi amat diperlukan dalam masa 40 tahun akan datang,“ ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, beliau berharap pihak universiti dapat memberi tumpuan mengeluarkan tenaga terlatih yang bukan sahaja mahir tetapi berkualiti sebab kualiti penting bagi memastikan bangsa Malaysia boleh melangkah jauh ke hadapan dan meningkat dalam semua aspek pembangunan.